Menurut Laswell dan Wright (Baran & Davis, 2000), fungsi komunikasi boleh dikategorikan kepada empat bahagian iaitu penyebaran informasi dan amaran, menjalinkan hubungan dengan kelompok-kelompok di dalam masyarakat, transmisi budaya masyarakat dan hiburan.
1. Penyebaran Informasi Dan Amaran
Komunikasi berfungsi untuk menyebarkan informasi semasa dan terkini mengenai keadaan persekitaran manusia. Bertindak menyampaikan amaran dan berupa peringatan kepada sesebuah masyarakat atau kelompok yang terbabit contohnya apabila berlaku kecemasan seperti banjir kilat, jerebu dan ketiadaan air mahupun elektrik di sesebuah kawasan.
2. Menjalinkan Hubungan Dengan Masyarakat
Komunikasi berperanan menghubungkan kelompok-kelompok dalam masyarakat menerusi isu-isu yang dibincangkan terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan dan keperluan kelompok tersebut. Contohnya sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Tidak ketinggalan juga menerusi isu-isu nasional seperti mendaulatkan Bahasa Melayu dan perpaduan warga Malaysia. Dalam konteks ini, komunikasi dapat menjalinkan hubungan yang harmoni antara kelompok-kelompok utama di Malaysia yang berlainan budaya, agama dan amalannya.
3. Transmisi Budaya Masyarakat
Media massa berjaya memaparkan budaya sesubuah masyarakat menerusi siarannya. Kita dapat melihat budaya kehidupan di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa tetapi masih mengamalkan dasar toleransidan perpaduan yang kukuh. Tidak ketinggalan juga, kita berpeluang untuk meneroka budaya hidup masyarakat barat dan timur yang agak berbeza dengan kita dengan menonton, mendengar dan membaca mengenainya di media massa. Ini membolehkan kita mendapat informasi mengenai budaya orang luar dan memudahkan kita untuk mengadaptasikan diri dengan budaya asing di sesuatu tempat.
4. Hiburan
Setiap hari kita mendapat hiburan melaui media massa. Fungsinya sebagai penghibur banyak membantu manusia menangani tekanan akibat masalah yang timbul dalam kehidupan seharian. Media cetak dan elektronik menyediakan pelbagai bentuk hiburan sama ada bercorak lisan dan bukan lisan.Pelbagai rancangan hiburan disajikan kepada kita setiap masa dan terpulang kepada individu untuk memilih yang terbaik untuknya.
Sumber:
Buku Pengantar Komunikasi (2007)
Mohd Baharudin Othman
Mohd Khairie Ahmad
No comments:
Post a Comment