Tuesday, 2 July 2013

Fungsi Komunikasi Lisan

Bahasa amat penting dalam kehidupan bermasyarakat. Tanpa bahasa, sesebuah masyarakat akan mengalami masalah berinteraksi antara satu sama lain. Bahasa dipelajari melalui proses sosialisasi dan pendidikan. Haliday (dlm. Bittner, 1985) telah menyenaraikan tujuh fungsi bahasa sebagai alat komunikasi, iaitu:
  1. Alatan - untuk menyempurnakan sesuatu kehendak seperti memerintah atau meminta.
  2. Pentertib - untuk mengawal tingkah laku atau peristiwa yang berlaku.
  3. Interaksi - untuk memastikan hubungan sesama manusia berjalan dengan lancar tanpa sebarang salah faham, penutur perlu mempunyai pengetahuan dalam dialek, slanga, jargon dan sebagainya.
  4. Peribadi - untuk menyatakan atau meluahkan perasaan, kemahuan, dan sebagainya yang bersifat peribadi.
  5. Penemuan - untuk memperoleh ilmu pengetahuan yang dinyatakan dalam bentuk soalan-soalan yang memerlukan jawapanj.
  6. Khayalan - untuk memikirkan atau melakukan sesuatu berdasarkan daya imiginasi dan kreativiti sendiri.
  7. Pernyataan - untuk menyatakan, memerikan, mengambarkan, menjelaskan satu fakta, peristiwa, pengetahuan dan sebagainya.

Sumber:
Buku Pengantar Komunikasi (2007)
Mohd Baharuddin Othman
Mohd Khairie Ahmad

Bidang Komunikasi Di Malaysia

Menurut Syed Arabi (2002), sejarah dan perkembangan pengajian komunikasi di Malaysia dapat ditinjau menerusi empat fasa.

1. Fasa Pertama
Pada peringkat awal bidang komunikasi di Malaysia dipengaruhi oleh bidang kewartawanan. Sebelum kemerdekaan Malaysia, media cetak khususnya surat khabar banyak memainkan peranan dalam masyarakat untuk memupuk semangat kebangsaan serta kemerdekaan (Mohd Safar, 1996). Di peringkat ini komunikasi adalah untuk politik dan sosio ekonomi. Dari segi pengajian komunikasi dalam era ini tidak wujud secara formal.

2. Fasa Kedua
Bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan bidang komunikasi menjadi semakin berkembang dan mula mendpat perhatian. Salah satu titik awal perkembangan tersebut ialah apabila operasi persuratkhabaran berpindah dari Singapura ke Kuala Lumpar. Sekitar tahun 1970-an bidang komunikasi di Malaysia berkembang dengan wujudnya bidang penyiaran.

3. Fasa Ketiga
Fasa ketiga menyaksiakan anjakan paradigma dalam bidang komunikasi negara. Ilmu dan amalan komunikasi mula memperlihatkan bidang-bidang baru selain kewartawanan dan penyaiaran. Latihan secara profesion dalam penyiaran radio, televisyen dan agensi berita mula digandingkan dengan bidang periklanan dan perhubungan awam.

4. Fasa Keempat
Bermula sekitar 1980-an menunjukkan perkembangan pesat dan meluas bidang komunikasi di samping pengajiannya. Komunikasi menjadi semakin signifikan apabila ia berjaya muncul sebagai salah satu bidang komersial. Pada peringkat awal hampir keseluruhan pusat pengajian tinggi awam di Malaysia menawarkan pengajian komunikasi massa. Namun senario 1990-an dengan perkembangan bidang perniagaan maka komunikasi di Malaysia telah memperlihatkan kemunculan bidang-bidang baru seperti komunikasi keorganisasian, komunikasi korporat, pengiklanan, teknologi komunkasi dan telekomunikasi di universiti-universiti awam.


Sumber:
Buku Pengantar Komunikasi (2007)
Mohd Baharuddin Othman
Mohd Khairie Ahmad

Fungsi Komunikasi

Menurut Laswell dan Wright (Baran & Davis, 2000), fungsi komunikasi boleh dikategorikan kepada empat bahagian iaitu penyebaran informasi dan amaran, menjalinkan hubungan dengan kelompok-kelompok di dalam masyarakat, transmisi budaya masyarakat dan hiburan. 

1. Penyebaran Informasi Dan Amaran 
 Komunikasi berfungsi untuk menyebarkan informasi semasa dan terkini mengenai keadaan persekitaran manusia. Bertindak menyampaikan amaran dan berupa peringatan kepada sesebuah masyarakat atau kelompok yang terbabit contohnya apabila berlaku kecemasan seperti banjir kilat, jerebu dan ketiadaan air mahupun elektrik di sesebuah kawasan.

2. Menjalinkan Hubungan Dengan Masyarakat
Komunikasi berperanan menghubungkan kelompok-kelompok dalam masyarakat menerusi isu-isu yang dibincangkan terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan dan keperluan kelompok tersebut. Contohnya sambutan Hari Kemerdekaan, Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Tidak ketinggalan juga menerusi isu-isu nasional seperti mendaulatkan Bahasa Melayu dan perpaduan warga Malaysia. Dalam konteks ini, komunikasi dapat menjalinkan hubungan yang harmoni antara kelompok-kelompok utama di Malaysia yang berlainan budaya, agama dan amalannya.

3. Transmisi Budaya Masyarakat
Media massa berjaya memaparkan budaya sesubuah masyarakat menerusi siarannya. Kita dapat melihat budaya kehidupan di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa tetapi masih mengamalkan dasar toleransidan perpaduan yang kukuh. Tidak ketinggalan juga, kita berpeluang  untuk meneroka budaya hidup masyarakat barat dan timur yang agak berbeza dengan kita dengan menonton, mendengar dan membaca mengenainya di media massa. Ini membolehkan kita mendapat informasi mengenai budaya orang luar dan memudahkan kita untuk mengadaptasikan diri dengan budaya asing di sesuatu tempat.

4. Hiburan
Setiap hari kita mendapat hiburan melaui media massa. Fungsinya sebagai penghibur banyak membantu manusia menangani tekanan akibat masalah yang timbul dalam kehidupan seharian. Media cetak dan elektronik menyediakan pelbagai bentuk hiburan sama ada bercorak lisan dan bukan lisan.Pelbagai rancangan hiburan disajikan kepada kita setiap masa dan terpulang kepada individu untuk memilih yang terbaik untuknya.


Sumber:
Buku Pengantar Komunikasi (2007)
Mohd Baharudin Othman
Mohd Khairie Ahmad